KUALA LUMPUR – Tawaran khidmat seks dengan bayaran serendah RM60 digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Petaling di ibu negara semalam.
Premis ‘rumah merah’ itu menawarkan khidmat menggunakan pelacur wanita Indonesia bagi memberi layanan kepada pelanggan tempatan dan warga asing.
Serbuan sekitar 8.30 malam oleh pasukan JIM Kuala Lumpur itu mendapati, lokasi terbabit dijaga lelaki tempatan yang berada di di luar premis bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.
Sementara itu, salah seorang wanita Indonesia berusia lingkungan 20-an yang berasal dari Batam semasa ditahan mengakui dia bekerja sebagai pelayan seks di premis terbabit.
“Saya baru sampai dari Batam, petang tadi (semalam). Pasport ada pada bos. Ya cik, saya tahu akan buat kerja (pelayan seks) ini,” katanya.
Difahamkan ‘rumah merah’ itu berbau busuk dan kotor malah terdapat ruang premis dibahagikan kepada bilik-bilik kecil yang ditempatkan katil serta wanita pelayan seks.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, dalam serbuan itu seramai 12 wanita Indonesia berusia 21 hingga 38 tahun telah ditahan.
Katanya, kesemua wanita terbabit diambil tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tiga pelanggan warga tempatan telah diberi notis saman saksi untuk hadir ke pejabat Imigresen manakala dua lagi iaitu warga Nepal dan India diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut menahan empat lelaki tempatan kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan, premis terbabit dipercayai telah aktif hampir setahun dan kesemua pelanggan yang berkunjung ke datang tanpa temujanji. – MalaysiaGazette