Antara peserta yang menyertai Himpunan Setahun Taufan Al Aqsa untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin ketika di Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa bertindak lebih tegas dalam menyuarakan pendirian Malaysia mengenai Palestin kepada Amerika Syarikat (AS).

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi berkata, pendirian tegas perlu dinyatakan meskipun kerajaan mempunyai hubungan dagang dengan AS.

“Saya telah nyatakan walaupun Anwar ingin mengadakan perdagangan dengan AS, Anwar mesti tegas soal isu Gaza ini, jangan kompromi.

“Malah perlu pastikan AS ini dikenali sebagai satu-satunya negara pendukung Israel yang besar. Jadi Malaysia kena bagi isyarat itu,” katanya.

Tambah beliau, tindakan itu juga selari dengan kedudukan Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN bermula tahun hadapan.

Terdahulu, lebih 200 peserta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam Himpunan Mega Setahun Al -Aqsa yang bermula dari Menara Tabung Haji (TH) menuju ke Kedutaan AS.

Ia bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap kuasa besar itu yang terus menjadi pembekal dan penyumbang senjata utama kepada rejim Israel untuk menyerang Palestin.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga menggesa kerajaan menutup kedutaan AS di Malaysia sekiranya tiada ketegasan daripada pihak negara itu dalam meredakan konflik di Timur Tengah yang kini sedang merebak ke Lubnan.

Azmi yang mengetuai serahan memorandum kepada Kedutaan AS turut menyatakan tidak berpuas hati dengan kebiadapan AS untuk tampil menerima surat tersebut.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya terhadap Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan yang barangkali sudah membuat keputusan tidak mahu menerima apa-apa memorandum. Kita mengecam sikap biadap ini, bahawa seluruh dunia sudah tahu.

“Kita mahu menyatakan pendirian, tidak akan berundur dari depan Kedutaan AS selagi dia tidak keluar, namun kita membuat keputusan hanya meletakkan memorandum itu di dalam peti surat.

“Dalam memorandum itu juga kita tujukan kepada tiga individu penting iaitu Presiden AS, Joe Biden, Timbalan Presiden, Kamala Harris termasuk calon Republikan, Donald Trump yang mempunyai sikap sama menyokong tindakan Israel membunuh rakyat Palestin,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan pihaknya akan menghantar memorandum tersebut kepada Anwar dan Kabinet untuk bertindak dalam isu Palestin.

Sejak 7 Oktober lalu hingga kini, lebih 41,000 angka kematian rakyat Palestin direkodkan akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here