Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum memutuskan ketua jurulatih baharunya.

Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam berkata pihaknya akan membuat pengumuman mengenai perkara itu sebaik keputusan dibuat.

“Kami belum membuat sebarang keputusan muktamad. Itu sahaja,” katanya kepada Bernama ringkas ketika dihubungi hari ini.

Selasa lepas, BAM dilaporkan sepatutnya membuat pengumuman hari ini berhubung ketua jurulatih baharu.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky dilaporkan berkata BAM telah memuktamadkan perjanjian dengan ketua jurulatih perseorangan baharu.

Hal itu susulan penamatan khidmat Hendrawan sebagai jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan minggu lepas setelah 15 tahun.

Ketua jurulatih baharu itu berkemungkinan menerajui kedua-dua pasukan perseorangan lelaki dan wanita di ABM.

BAM baru-baru ini merombak struktur kejurulatihan dengan melantik Alvin Chew dan K. Yogendran sebagai jurulatih pasukan senior lelaki manakala Datuk Tey Seu Bock sebagai jurulatih utama pasukan remaja dibantu Goh Giap Chin.

Sementara bagi sektor perseorangan wanita, Jeffer Rosobin dan Misbun Ramdan akan melatih pasukan senior manakala Aaron Lee dan Sylvia Kavita membimbing pemain remaja. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here