Roselan menunjukkan arak tiruan tiruan yang dirampas pihaknya bersama setem duti palsu pada sidang media di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Ahli sindiket pengilangan arak tiruan yang beroperasi di sebuah rumah usang dalam hutan di Kampung Valdor dekat Nibong Tebal ada taktik tersendiri mengelak dihidu pihak berkuasa.

Mereka berpandukan bunyi katak dalam kolam ternakan sekiranya ada orang luar memasuki ke kawasan mereka.

Namun taktik sedemikian berjaya dibongkarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam serbuan pada 20 September lalu.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan pukul 11.20 pagi itu susulan sindiket yang didalangi warga Nepal itu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Roselan Ramli berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan sejumlah 6,621 botol minuman keras jenis arak bernilai RM73,654.35 melibatkan duti berjumlah RM334,133.37.

“Hasil siasatan mendapati sindiket yang didalangi warga Nepal itu menyewa rumah tersebut daripada pemilik warga tempatan sebelum dijadikan ‘kilang’ memproses minuman keras tiruan.

Kesemua arak tiruan itu diproses sindiket didalangi warga Nepal.

“Sindiket yang aktif sejak tiga bulan itu juga  juga didapati meniru label minuman keras yang sudah sedia ada di pasaran serta melekatkan setem duti kastam palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita percaya minuman-minuman keras ini telah pun berada di pasaran tempatan iaitu di kedai-kedai runcit justeru kita menasihatkan kepada pembeli supaya membeli di premis yang dilesenkan sahaja kerana bimbang jumlah kandungan alkohol dalam minuman tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut dirampas sebuah mesin glass bottle capping dan segulung setem duit kastam palsu.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi, Roselan berkata, bunyi katak di kawasan ternakan itu dijadikan isyarat oleh sindiket untuk mengelak ditangkap ketika serbuan.

“Pasukan serbuan terpaksa melalui satu kawasan kolam ternakan katak sebelum ke kediaman tersebut dan bunyi katak itu dijadikan signal untuk ahli sindiket melarikan diri.

“Usaha mengesan ahli sindiket yang terlibat sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 serta Seksyen 6 Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here