BUTTERWORTH – Tindakan sekumpulan pelakon opera warga asing memasuki negara menggunakan pas pelancong bagi melakukan aktiviti kebudayaan terbongkar selepas mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di pekarangan sebuah rumah ibadat di sini, semalam.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, operasi itu dilakukan ini hasil aduan yang mendakwa terdapat sekumpulan warga asing tanpa permit sah membuat persembahan opera di rumah ibadat terbabit.
Jelas beliau, hasil serbuan membawa kepada tangkapan enam individu terdiri daripada empat warga Taiwan dan dua warga Singapura berusia 40 hingga 60 tahun.
“Ketika serbuan dilakukan enam warga asing berkenaan sedang membuat persembahan dengan memakai kostum watak masing-masing.
“Semakan lanjut mendapati mereka hanya diberikan pas lawatan sosial dan tiada sebarang kebenaran yang tercatat di dalamnya”.
“Kesemua mereka didapati telah melanggar syarat-syarat pas selaras dengan peruntukan di bawah peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Nur Zulfa, berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa mana-mana artis perlu membuat permohonan kepada Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang diwujudkan kerajaan sebagai agensi setempat yang menyelaras permohonan pengambaran filem dan persembahan artis luar negara
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen tanpa kompromi” katanya. – MalaysiaGazette