Anggota pengaman Indonesia yang menyertai UNIFIL di Lubnan. #malaysiagazette

NEW YORK – Indonesia menyelar tindakan Israel membedil pangkalan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Naqoura hingga menyebabkan dua anggota tenteranya cedera.

Perwakilan Tetap Indonesia ke PBB Hari Prabowo mengutuk keras tindakan Israel yang melakukan pelanggaran Piagam PBB.

Serangan itu menurut beliau, satu lagi penghinaan Isarel terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Serangan IDF (pasukan Israel) tanpa pandang bulu ke atas UNIFIL, yang mencederakan dua pasukan pengaman kita, jelas menunjukkan bagaimana Israel meletakkan dirinya: di atas undang-undang antarabangsa, di atas impunitas, dan di atas nilai-nilai keamanan bersama,” tegas Hari.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran ini. Ketiadaan moral yang jelas dari Israel adalah mengerikan,” kata Hari seperti yang dilaporkan MetroTV Indonesia.

Tindakan Israel terhadap UNIFIL menurutnya, adalah cubaan terang-terangan untuk menyebarkan keganasan di lapangan untuk menakutkan misi pengaman dan masyarakat antarabangsa.

“Mereka yang menyokong keamanan tidak akan pernah takut kepada penindas dan pelaku pembunuhan beramai-ramai,” kata Hari.

Indonesia mengingatkan tentera Israel dan semua yang terbabit mengenai kewajipan mereka untuk memastikan perlindungan penuh kakitangan UNIFIL dan harta PBB.

Kementerian Luar Negeri Indonesia sebelum ini berkata, dua anggota tentera TNI yang menganggotai UNIFIL mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas pemantauan di menara pemantauan di ibu pejabat kontinjen Indonesia di Naqoura.

Naqoura terletak di Selatan Lubnan, di kawasan yang dipanggil garis biru. Pasukan pengaman PBB berada di kawasan itu di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB untuk menyokong kestabilan Lubnan.

“Kedua-dua anggota itu segera menerima rawatan di hospital berhampiran dan kini dalam keadaan baik. “Kecederaan yang dialami oleh kedua-dua anggota itu berpunca daripada peluru yang dilepaskan dari kereta kebal IDF Merkava,” sambung Kementerian Luar Negeri Indonesia.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi juga telah berhubung terus dengan komander kontinjen Garuda FHQSU (Unit Sokongan Markas Angkatan).

UNIFIL pada Khamis memaklumkan, sebuah kereta kebal Israel telah melepaskan tembakan ke arah menara pemerhati di ibu pejabatnya di Naqoura, selatan Lubnan, mencederakan dua anggota pengaman. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here