Najib Razak

SHAH ALAM – Prosiding saman yang dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan kenyataan fitnah membabitkan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness bermula hari ini.

Turut disaman ialah GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd (GB) sebagai defendan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris akan mendengar prosiding manakala bekas Perdana menteri itu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Alan Adrian Gomez mewakili Thomas dan Datuk Ambiga Sreenevasan mewakili GB.

Prosiding bermula dengan Najib memberi keterangan dari kandang saksi pada jam 9.50 pagi.

Sementara itu, Muhammad Shafee meminta hakim memberi kebenaran supaya anak guamnya dapat membaca keterangan dengan cepat supaya beliau boleh memulakan soal balas.

Tommy Thomas

Najib mendakwa Thomas telah mengarang dan menyebabkan penerbitan buku itu yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya pada 27 Oktober 2021.

Ia merupakan saman kedua difailkan Najib selepas beliau mengambil tindakan undang-undang sama terhadap Tommy pada 22 Oktober lalu atas dakwaan melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tommy didakwa menulis dan menyebabkan buku berkenaan diterbitkan yang mana defendan membuat kenyataan fitnah yang serius terhadapnya dalam bab ke-42 buku itu dengan tajuk ‘Altantuya’.

Najib mendakwa beliau dipaparkan dengan meluas dalam bab 42 dan bab lain buku berkenaan yang mana pembaca akan mengetahui kenyataan fitnah yang merujuk kepadanya.

Najib memohon perintah supaya defendan memadamkan kenyataan fitnah dalam buku itu dan perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka daripada mengeluarkan kenyataan sama selain permohonan maaf dari pihak-pihak tersebut.

Turut dipohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here