Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (dua dari kanan) ketika ditemui media pada tinjauan Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley, di sini pada Jumaat. Foto Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan berjumlah RM20 juta bagi pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan memohon peruntukan tersebut daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, R&R tersebut akan dibina di kedua-dua arah lebuh raya dalam daerah Bentong dengan kos bernilai RM10 juta setiap satu dan tapak pembinaannya telah dikenal pasti.

“Sekurang-kurangnya (pembinaan R&R) ada tempat membeli-belah, makan minum beberapa buah, kemudian perlu ada tandas dan tempat solat.

“Jadi saya ingin maklumkan bahawa kami di (Jabatan Kerja Raya) JKR bersetuju untuk membina (R&R) dengan peruntukan daripada kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada tinjauan Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley, di sini pada Jumaat.

Terdahulu media melaporkan, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Persekutuan melalui KKR dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan hentian R&R di LTU.

Baginda bertitah keperluan R&R di lebuh raya berkenaan penting untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

Sebelum ini, Kerajaan negeri Pahang telah membuat permohonan R&R dapat dibina di LTU bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

Bagaimanapun, R&R tersebut tidak diteruskan dengan alasan kos pembinaan mencecah dua kali ganda daripada kos asal walaupun ia berada dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur sahaja yang dilaksanakan.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta Ahli Parlimen Pahang untuk membangkitkan isu pembinaan R&R berkenaan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here