Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR- Kursi Pengajian Melayu ditubuhkan di salah sebuah universiti di Rusia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Kadir berkata, ia hasil persetujuan beliau dengan rakan sejawat, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Valery Falkov semasa Mesyuarat ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di St. Petersburg, baru-baru ini.

“Kursi Pengajian Melayu di salah sebuah universiti di Rusia. Hal ini akan dibincangkan secara lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan.

“Saya juga mengemukakan cadangan untuk menghantar lebih ramai pensyarah dan guru bahasa kita ke Rusia dan pada masa sama menjemput pensyarah daripada Rusia untuk datang menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zambry, penubuhan Kursi Pengajian Melayu itu adalah  bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi salah satu program dan kursus yang ditawarkan di beberapa buah universiti terkemuka di Rusia.

Pengisian pembelajaran kursus itu menurut beliau termasuk mengenai kesusasteraan Bahasa Melayu, sejarah Bahasa Melayu dan latar belakang Melayu dan Nusantara.

Pada masa sama, Kursi yang akan ditubuhkan itu akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang akan ditambah baik antara Kerajaan Rusia dan Malaysia.

Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu KPT telah ditubuhkan di beberapa buah institusi seluruh dunia seperti BFSU China, Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Victoria University di New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan. -NalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here