Paul Yong Choo Kiong.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong telah membuat permohonan bukti baharu dalam cubaan untuk mengetepikan sabitan kes merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Paul Yong yang juga seorang bekas Exco dan mantan pemimpin DAP telah membuat permohonan itu di Mahkamah Persekutuan.

Peguam mewakili Yong, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengesahkan perkara itu kepada media mendedahkan permohonan berkenaan akan didengar pada 12 November ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 23 Oktober ini untuk mendengar rayuan akhir Yong namun kini dengan perkembangan baharu, tarikh tersebut ditunda bagi mendengar permohonan ini terlebih dahulu.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadap Yong.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.

Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast