Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan serta rekreasi bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan amalan gaya hidup cergas dan aktif sepanjang tahun dalam kalangan warga polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia adalah seiring matlamat Hari Sukan Negara 2024 yang bertemakan “Cergas Bersama”.

Katanya, ia sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah “negara bersukan” dengan membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup sihat dan aktif.

“Malah, ia juga selaras dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, Hari Sukan Negara peringkat PDRM 2024 turut dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat bermatlamat mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan integrasi nasional antara warga PDRM dengan komuniti setempat.

“PDRM memberikan sokongan padu kepada pelaksanaan Hari Sukan Negara, yang bertujuan untuk menyuntik sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan Sektor Industri Sukan dan Rekreasi,” katanya dalam amanat sambutan Hari Sukan Negara peringkat PDRM 2024 dalam Facebook rasmi PDRM, hari ini

Tambah Razarudin lagi, penglibatan atlet PDRM dalam pelbagai sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah manifestasi Pasukan terhadap dasar ini.

Katanya, sukan bukan sahaja membentuk kesihatan fiizkal, malah ia juga meningkatkan disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan.

Beliau turut menjelaskan bahawa peluang sebegini perlu dimanfaatkan untuk saling berinteraksi serta bersosial dalam satu keluarga besar Pasukan.

“Selain itu, penglibatan PDRM dalam aktiviti sukan adalah penting dalam menuntut kecergasan dan kesiapsiagaan pegawai polis di tahap yang optimum sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran dalam penugasan harian.

“Justeru, saya mengajak seluruh warga Sang Saka Biru agar membudayakan aktiviiti sukan dan kecergasan demi manfaat kesihatan menyeluruh untuk jangka masa panjang bagi meningkatkan kualiti kehidupan sosial.

“Marilah sama-sama menjadikan PDRM sebagai sebuah badan penguat kuasa utama yang bukan sahaja komited dalam menjalan tugas, tetapi juga aktif dalam mempromosikan gaya hidup sihat,” tegasnya dalam amanat tersebut.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here