Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19 di Laos. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan platform Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19 di Vientiane, Lao untuk mempertegas komitmen Malaysia dan rakan-rakan Asean terhadap rantau yang aman dan stabil.

Tegas Perdana Menteri, rantau Asia perlu bebas daripada konflik khususnya yang tercetus akibat pergeseran kuasa besar.

“Tatkala ASEAN mengetuai usaha untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak sekadar beretorik, sebaliknya menyusulinya dengan tindakan proaktif bagi menyokong sokongan peranan ASEAN dan memberikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan rakyat Myanmar.

“Saya juga mendesak semua pihak menggunakan instrumen dialog dan tindakan yang selaras dengan perundangan antarabangsa seperti UNCLOS 1982 untuk menyelesaikan pertikaian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengulangi desakan supaya masyarakat antarabangsa menuntut Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi yang berterusan di Gaza.

Meskipun lantang bersuara mengenai Gaza, namun Malaysia menurut Anwar tidak sama sekali menutup mata terhadap krisis di Ukraine.

Malaysia katanya, tegas menolak sebarang tindakan keganasan dan pelanggaran integriti wilayah.

Tegas beliau, semua pihak perlu berusaha mencari penyelesaian menerusi dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

“Tatkala mempengerusikan ASEAN tahun depan, Malaysia menyeru rakan-rakan anggota EAS untuk menjulang kebersamaan dan melaksanakan Pelan Tindakan EAS 2024-2028,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here