Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein (tengah kiri), Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob (kanan), Mohamed Sabri Ramli (kiri) dan Nor Azman Zainal (tengah kanan) bergambar selepas Pelancaran Kaotim Kereta dan Kaotim Moto di Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OKTOBER 2024.

GEORGE TOWN – Takaful Malaysia mensasarkan nilai jualan sehingga RM10 juta sehingga akhir tahun ini bagi produk digital terbaharunya –  Kaotim Car dan Kaotim Motor.

Kedua-dua produk ini menawarkan pelan perlindungan secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli berkata, platform digital tersebut memberikan kemudahan kepada pemilik kenderaan mengakses pelan perlindungan secara pantas mengikut keperluan, sekali gus memilih faedah tambahan yang sesuai dengan bajet.

“Sasaran jualan peringkat awal kita harap… dapat melebihi daripada unjuran. Kita ada lagi dua bulan kalau dapat RM10 juta jualan sehingga hujung tahun ini. (Produk ini) perlu masa untuk bina momentum, itu target kita,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor di sini hari ini.

Nor Azman Zainal

Kaotim Car adalah perlindungan komprehensif bagi kenderaan persendirian terhadap pelbagai risiko, termasuk kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, liabiliti kepada pihak ketiga, atau kerosakan harta benda.

Ia menawarkan bantuan bahu jalan 24 jam serta perkhidmatan tunda tanpa had akibat kerosakan secara percuma.

Pelan ini turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi untuk pemandu dan penumpang yang mana terdapat 11 faedah tambahan fleksibel, termasuk Motor PA Plus yang menawarkan perlindungan tambahan terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya, membolehkan pelanggan dapat membuat pilihan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Kaotim Motor pula menawarkan perlindungan motosikal komprehensif terhadap kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian serta liabiliti kepada pihak ketiga untuk kematian, kecederaan badan dan kerugian atau kerosakan harta benda.

Nur Fardiana Mohamed Ismail menunjukkan aplikasi Kaotim Car dan Kaotim Motor selepas majlis pelancaran di sebuah hotel di Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OKTOBER 2024.

Pelanggan boleh menambah baik perlindungan mereka dengan memilih mana-mana daripada empat faedah tambahan, termasuk Bike PA Plus iaitu perlindungan kemalangan peribadi terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya.

Menurut Mohamed Sabri, platform digital Kaotim Car dan Kaotim Motor boleh diakses pengguna selama 24 jam setiap dengan tawaran komprehensif termasuklah perlindungan sebanyak RM15,000 untuk semua penumpang dan pemandu.

Pelanggan Kaotim Car boleh membeli pelan ini secara ansuran menggunakan kad kredit.

Manakala, Kaotim Motor menawarkan diskaun serta-merta 10 peratus,  perkhidmatan tunda akibat kerosakan sekali secara percuma, dan perlindungan untuk semua penunggang yang dibenarkan.

Semua manfaat bagi kedua-dua pelan baharu ini tertakluk kepada terma dan syarat.

Mohamed Sabri Ramli

“Kita cover (beri perlindungan) untuk semua pemandu dengan tiada tambahan pembayaran dikenakan, semua percuma.

“Ini antara ciri produk yang kita bagi (tawarkan) dapat membantu perlindungan semua pelanggan,” jelasnya.

Tambah Mohamed Sabri, satu lagi kelebihan produk Kaotim Car dan Kaotim Motor adalah jaminan pembayaran perlindungan hanya dalam tempoh lima hari sahaja sekiranya berlaku kemalangan.

“Sebagai contoh, pelanggan terlibat dengan kemalangan, hanya perlu muat turun gambar keadaan kenderaan di website dan kami akan berikan wang dalam masa lima hari masuk ke dalam bank, terpulang kepada pelanggan bila nak hantar repair. Itu yang kita tawarkan dalam khidmat,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal menyifatan pelancaran produk ini sebagai pencapaian penting dalam usaha kumpulan tersebut memperkenalkan lebih banyak pelan perlindungan dalam talian.

Beliau yakin Kaotim Car dan Kaotim Motor dapat mencapai sasaran yang ditetapkan dan kekal stabil dalam pasaran digital yang menjadi pilihan sekarang.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here