Gelandangan wanita Rusia yang tinggal empat tahun di Malaysia tanpa dokumen sah diberkas kelakuan tidak senonoh dan halang lalu lintas di Setia Alam diberkas polis 9 Oktober 2024.Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing yang tular berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas diberkas di Shah Alam, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis panggilan awam kira-kira 4.50 petang, 9 Oktober lalu berhubung perkara itu.

Menurut pengadu, terdapat seorang perempuan asing berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13 Setia Alam Shah Alam.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, pihak polis sampai mendapati perempuan warga Rusia itu bersama seekor anjing miliknya dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dibuat oleh anggota di tempat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal lagi, pemeriksaan lanjut terhadap wanita itu mendapati, dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Jelas beliau, wanita itu kemudian dibawa balik ke IPD Shah Alam manakala anjing peliharaannya telah diserahkan ke pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan melibatkan seorang warga Rusia berumur 32 tahun dan hidup sebagai gelandangan, semakan menunjukkan dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Wanita itu telah datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong.

“Bagaimanapun gagal untuk pulang ke negara asal akibat pandemik Covid-19 dan tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang ke tanahairnya.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati wanita itu dikesan positif dadah jenis THC dan kini direman selama 14 hari di lokap Shah Alam bermula 9 Oktober sehingga 22 Oktober depan untuk membantu siasatan lanjut,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan disabitkan dengan kesalahan.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sjn Mohammad Shamsul Bin Md Salleh ditalian 017-5453234.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here