KUANTAN – Ura-ura kerajaan bakal memperkenalkan lima cukai baharu dalam pembentangan Belanjawan 2025, 18 Oktober ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.
Menurut kakitangan swasta, Norazwani Yusof, 40, salah satu perkara yang menjadi tanda tanya kepada beliau adalah mekanisme pelaksanaan Cukai Kecerdasan Buatan (AI).
“Adakah (cukai) akan dikenakan kepada syarikat pembangunan atau kepada pengguna. Sebab fokus utama kerajaan kan nak tingkatkan pendapatan rakyat.
“Manakala teknologi AI ni kan sekarang makin ramai pengguna, jadi tak terbeban ke pengguna nanti? tu saya tak sabar nak tengok 18 haribulan ni,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut beliau, negara perlu seiring negara maju lain dalam pembangunan pesat dan serba moden, termasuk penggunaan meluas teknologi.
Selain tu, dia turut menantikan maklumat pelaksanaan cukai makanan berlemak yang mungkin akan disebut juga dalam belanjawan tu.
“Sebab, kalau dikenakan kepada syarikat atau peniaga, nanti mesti berlaku kenaikan harga barang-barang,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Nazlindawati Chaiman, 46 berharap agar kerajaan dapat memberi fokus dalam memastikan kenaikan harga barangan dapat diturunkan dalam Belanjawan 2025 kali ini.
Katanya, kadar kenaikan kos barang kini membebankan dia yang merupakan peniaga barangan runcit.
“Perbelanjaan isi rumah pun semakin mahal, perbelanjaan pendidikan anak-anak pun mahal sekarang. Akak ada empat anak yang belajar universiti, tingkatan enam atas yang darjah satu, yang tingkatan tiga. Kos sekarang memang tinggi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Roslinda Wan Nasir, 48 pula berharap agar Belanjawan 2025 nanti ada mengumumkan peruntukan khusus untuk bantuan mangsa banjir, lebih-lebih lagi bagi negeri pantai timur yang menghadapi bencana itu setiap tahun.
“Bantuan tunai untuk membantu mangsa membaiki kerosakan harta benda dan memenuhi keperluan asas.
“Jika proses bayaran kepada mangsa memerlukan masa yang lama, diharap bantuan dapat disalurkan melalui Kerajaan Negeri sebagai alternatif sementara menunggu proses yg seterusnya,” katanya.
Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa (JPKK) Kampung Belukar juga berharap agar terdapat peruntukan tetap bagi penyediaan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk mangsa yang terjejas.
Katanya, langkah-langkah itu dipercayai akan membantu mangsa banjir pulih dengan lebih cepat dan membina ketahanan untuk menghadapi bencana di masa akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberitahu, Kerajaan MADANI akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan meningkatkan pendapatan rakyat dalam Belanjawan 2025. – MalaysiaGazette