Tun Juhar Mahiruddin

KOTA KINABALU – Prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi Crisnanalina Jumis yang berasal dari Paitan untuk mendaftar bagi kemasukan ke Universiti Malaysia
Sabah (UMS), Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkenan untuk memberikan sumbangan bagi membolehkan beliau melanjutkan pengajian ke UMS.

Menurut kenyataan dari Istana Negeri Sabah, di samping sumbangan bantuan komputer riba dan bantuan perbelanjaan bagi persiapan Crisnanalina untuk
mendaftar di UMS, Tun Juhar juga akan membantu menyelesaikan yuran pendaftaran kemasukan beliau ke UMS.

“Bantuan ini adalah sumbangan prihatin daripada Tun Juhar yang mahu Crisnanalina menerima kemudahan secukupnya bagi membolehkan beliau menyambung
pengajian ke universiti.

“Sebagai Canselor UMS, perkara berkaitan kebajikan pelajar khususnya amat dekat di hati Tun Juhar, justeru bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban
serta menguatkan semangat Crisnanalina untuk menempuh kehidupan sepanjang berada dalam pengajian,” menurut kenyataan tersebut.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Crisnanalina yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan, Sabah menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran
serta pelbagai perbelanjaan yang berkaitan, dan memohon bantuan daripada pelbagai pihak bagi membolehkan beliau mendaftar dan memulakan pengajian.

Susulan itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar
UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here