KUALA LUMPUR- Empat pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang ditemui selamat selepas hilang sejak 8 Oktober lalu, mempunyai kesan kecederaan pada tubuh disyaki akibat didera, selain didakwa menjadi mangsa seksual.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pelajar berkenaan turut dikatakan melarikan diri dari pusat tahfiz berkenaan kerana tidak tahan menjadi mangsa buli.
“Hasil pemeriksaan awal, ada kecederaan. Kalau kita tengok tempoh masa itu, mungkin (kecederaan) berlaku ketika mereka berada di pusat tahfiz.
“Perkara ini masih dalam siasatan. Mereka ini masih kanak-kanak, jadi segala keterangan yang mereka berikan (kepada pihak polis) mesti disokong dengan keterangan yang kukuh oleh pihak lain (saksi),” katanya selepas program larian sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan empat pelajar berkenaan yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemui semula oleh orang awam di Bangi.
Sejurus ditemui, semua pelajar terbabit dibawa ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan.
Pelajar berusia antara 12 hingga 14 tahun itu ditemui ketika berjalan kaki di sekitar kawasan Kampung Bangi, Kajang oleh orang awam pada jam 11.58 malam, sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bangi.
Mohd Rusdi berkata, ketika siasatan dijalankan, semua kanak-kanak itu mendakwa mereka didera, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membuktikan dakwaan itu.
“Dakwaan itu ada (didera), namun buat masa ini saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut kerana kes masih dalam siasatan. Buat masa ini ia hanya berdasarkan keterangan kanak-kanak itu, namun kecederaan itu memang ada.
“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku kes buli, kerana ada ditemui kesan lebam pada tubuh mereka.
“Melalui keterangan empat kanak-kanak itu, mereka melarikan diri (dari pusat tahfiz) kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz itu,” katanya.
Sementara itu, katanya, semua kanak-kanak itu turut mendakwa menjadi mangsa seksual dan polis sedang menyiasat dakwaan terbabit.
“Kita sudah merakam keterangan pihak pengurusan tahfiz bagi membantu siasatan.
“Siasatan juga mendapati mereka ini baru belajar di situ, belum sampai setahun lagi,” katanya lagi.
Menurut Mohd Rusdi, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.- MalaysiaGazette