Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika hadir pada Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 OKTOBER 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap kerajaan dapat memberi peruntukan tambahan bagi menaik taraf fasiliti sukan di negara ini dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 18 Oktober ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ini kerana terdapat pelbagai program dan kemudahan sukan untuk rakyat telah diwujudkan bagi menggalakan gaya hidup sihat di negara ini.

“Sama seperti kementerian lain memang KBS berharap dapat penambahan peruntukkan daripada Kementerian Kewangan yang paling penting adalah semua insiatif sedang berjalan.

“Sebenarnya ketika ini ada banyak sukan komuniti dan di KBS, kita pentingkan kebolehcapian itu sebab tahun ini kita telah wujud 43 lokasi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh Kuala Lumpur.

“Ia termasuk senamrobik percuma setiap minggu untuk golongan tidak boleh keluar bersenam termasuk kelas renang percuma untuk kanak-kanak di kawasan hotspot kes lemas.

“Jadi kita sedang wujudkan lagi banyak program untuk kita menyenangkan rakyat yang mahu bersukan cuma kita perlukan bajet lebih bagi naik taraf fasiliti sukan yang sedia ada,” katanya dalam sidang media.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2024.

Tambah Hannah, pihaknya juga berharap belanjawan kali ini mendapat peruntukkan  yang mencukupi bukan sahaja untuk sukan elit, tetapi juga di peringkat akar umbi.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2024 yang dihadiri lebih 30,000 orang di sini hari ini.

Ketika ini terdapat lebih 103 jenis sukan telah diwartakan khusus untuk rakyat Malaysia malah turut diperkenalkan insentif pelepasan cukai sukan bernilai RM1,000 meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here