Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika hadir pada Himpunan Mega Setahun Taufan Al Aqsa untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pas akan memastikan kerajaan tidak sesekali mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

Tegas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Israel sudah terlalu banyak melanggar undang-undang antarabangsa dengan melakukan kezaliman terhadap penduduk Palestin.

Tambah beliau, langkah itu juga adalah sebahagian tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Antara peserta yang menyertai Himpunan Mega Setahun Taufan Al Aqsa untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OKTOBER 2024.

“Kita telah pun berjaya dari awal sejak merdeka pada 1957 yang mana Pas hanya ada ahli Parlimen tujuh, lapan orang saja masa itu berjaya mendesak kerajaan Malaysia jangan iktiraf negara israel.

“…(Jadi kerajaan) tak iktiraf (Israel) sampai sekarang dan dalam pasport Malaysia juga sudah ditulis bahawa rakyat negara ini tidak dibenarkan melawat Israel, itu adalah antara kejayaan yang telah dicapai.

“Sehingga ke hari ini seluruh rakyat Malaysia tidak mengiktiraf Israel walaupun Amerika Syarikat memegang prinsip menerima zions namun kita tak terima,” katanya kepada media selepas Perhimpunan ‘Setahun Gaza, Demo Mega’ di ibu negara di sini, hari ini.

Antara peserta yang menyertai Himpunan Mega Setahun Taufan Al Aqsa untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OKTOBER 2024.

Terdahulu, ribuan orang ramai tidak menghiraukan cuaca panas berarak di ibu negara bagi menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang berdepan serangan regim zionis.

Himpunan anjuran Pas dan disokong beberapa kumpulan lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO), berkumpul di Masjid As-Syakirin KLCC pukul 2 petang sebelum mula berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.

Antara kumpulan yang menyokong perhimpunan itu ialah parti politik Pejuang, gabungan kumpulan Islam bernama Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mapim), Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).

Antara peserta yang menyertai Himpunan Mega Setahun Taufan Al Aqsa untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OKTOBER 2024.

Berdasarkan pemerhatian, dianggarkan kira-kira 100 anggota polis dibantu sukarelawan Unit Amal Pas  memantau keadaan dan mengawal jalan raya sepanjang perarakan sejauh dua kilometer itu.

Peserta himpunan berarak sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan “Hidup, Hidup, Hidup Palestin” serta “Hancur, hancur, hancur Isreal.”

Antara ahli politik yang turut hadir adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria; bekas ahli Parlimen, Tian Chua dan Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Himpunan hari ini diadakan sempena genap setahun perang yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, yang setakat ini mencatatkan lebih 42,000 korban rakyat Palestin.

Himpunan tersebut tamat kira-kira pukul 4 petang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here