Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas hadir ke Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen bermula 14 Oktober ini tidak melibatkan peningkatan kuasa mufti.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, sebalikya RUU berkenaan akan memastikan punca bidang kuasa mufti lebih teratur serta jelas tanpa ada pertikaian tindakan yang dilakukan mufti.

“Pada masa yang sama, tidak ada peningkatan kuasa, ia sama seperti sedia ada (sekarang).

“Bezanya, kita hendak menjadikan satu akta Parlimen sangat jelas dengan bidang kuasanya dan tidak  tidak ada pertikaian berkenaan punca kuasa berkenaan tindakan mufti.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bahawa hampir semua fasal yang terkandung dalam RUU itu hampir sama seperti enakmen fatwa Sabah berhubung Mufti Sabah yang diluluskan pada 2004,” katanya pada pemberita selepas menghadiri Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU University di sini hari ini.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk yang melakukan pemeriksaan kesihatan pada Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

Tegas Fahmi, walaupun RUU tersebut dilaksanakan, ia tidak akan mengubah amalan dan kebebasan beragama di Sabah dan Sarawak terutama bagi mereka yang bukan islam.

“Jadi bagi mereka yang mengeluarkan tuduhan seperti ini, saya sarankan teliti balik sejarah Sabah yang sudah dibuat 20 tahun lalu, tiada sebarang kesan negatif.

“Sehubungan itu, jangan pandang serong dan perlu celik undang-undang. Kita mahu agama Islam bagi yang muslim bukan hanya dihormati tetapi juga teratur segi undang-undangnya” jelas beliau. 

Sebelum ini, 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah mendakwa RUU berkenaan akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata.

Mereka turut mendakwa, RUU berkenaan  melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

“Kami di Sabah dan Sarawak menentang keras Rang Undang-Undang Mufti yang dicadangkan yang bertujuan untuk memperluas kuasa mufti di Wilayah Persekutuan.

“Kami dengan tegas menolak sebarang usaha untuk diperintah oleh mufti, kerana ini akan secara efektif mengenepikan sistem raja berperlembagaan, kerajaan Madani, dan demokrasi berparlimen sekular yang menjadi asas Malaysia.

“Perubahan seperti ini akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata,” dakwa mereka.

Antara NGO yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation, Daniel John Jambun, Presiden Sabah Sarawak Rights Australia New Zealand, Robert Pei, pengasas Saya Anak Sarawak Peter John Jaban dan ramai lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here