Program ‘Generasi Bintang Invictus 2024’ selama tiga hari di Semenyih EcoVenture Resort, Selangor ialah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Usahawan Asia Pasifik.

KUALA LUMPUR – Penganjuran program kecemerlangan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) oleh Sekolah Menengah Putrajaya Presint 14 bagi pelajar-pelajar cemerlang sekolah dianggap sebagai pemangkin semangat bagi memastikan rekod terbaik dapat dicapai pada peperiksaan penting itu kelak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Usahawan Asia Pasifik bekerjasama dalam program ‘Generasi Bintang Invictus 2024’ selama tiga hari di Semenyih EcoVenture Resort, Selangor

Penolong Kanan SMK Putrajaya Presint 14, Khairizah Shamsudin berkata, objektif utama program tersebut bagi melahirkan pelajar cemerlang daripada kalangan 40 pelajar terbaik yang mendapat semua A dalam peperiksaan percubaan SPM sebelum ini.

Katanya, program  ini diharapkan dapat meningkatkan kadar kelulusan SPM dan mencapai gred purata sekolah itu (GPS) 3.48 yang disasarkan pada peperiksaan kali ini.

“Program tiga hari yang kita rangka ini sebenarnya bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar, membina keyakinan diri selain memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.

“Kita mahu memastikan pelajar-pelajar kita dapat pemahaman konsep dalam semua mata pelajaran SPM, bantu mereka menguasai teknik menjawab soalan peperiksaan, menyediakan bahan rujukan menarik dan latihan tambahan, serta membina keyakinan selain motivasi diri.

“Program ini juga menekankan pengurusan tekanan, memupuk semangat kerjasama dan persaingan sihat, serta memberi perhatian individu kepada pelajar melalui sesi tunjuk ajar dan bimbingan, di samping mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam pada itu, menurut Pengerusi dan Pengasas Persatuan Usahawan Asia Pasifik, Dr Shawn Loh S N, pihaknya cukup teruja untuk turut serta membantu menjayakan program ini kerana amat percaya pendidikan merupakan resipi untuk kejayaan kehidupan lebih cerah.

“Program seumpama ini turut menyelitkan pelbagai aktiviti menyeronokkan, selain sesi pengajaran kelas selang seli dengan motivasi diri sebenarnya akan membangkitkan semangat untuk terus mencapai sesuatu yang luar biasa.

“Kita sangat berharap pelajar-pelajar ini akan menjadi teladan baik bagi pelajar-pelajar muda dan seterusnya menjadi tonggak negara, kebanggaan semua,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast