KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengalami cedera ringan selepas terlanggar dahan pokok tumbang ketika menyertai acara Ironman Malaysia di Langkawi, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira 12 tengahari ketika beliau sedang beraksi dalam disiplin berbasikal.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi sebuah portal berita.
Bagaimanapun katanya, setakat ini masih belum ada laporan berhubung kejadian itu.
Tahap kecederaan yang dialami bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga masih tidak dapat dipastikan.
Namun begitu, difahamkan Syed Saddiq tetap meneruskan kayuhan menuju pusat pemeriksaan terakhir sebelum mengikuti disiplin seterusnya iaitu larian.