PAPAR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dilantik untuk menjalankan kajian selama enam bulan mengenai Penstabilan Harga
Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan harga barangan keperluan terpilih.
Dalam ucapan ketika merasmikan Program Khidmat Masyarakat berteraskan Penyelidikan anjuran UMS, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha tersebut selari dengan kerangka Madani dan bertujuan untuk menstabilkan harga barang di seluruh negara.
Beliau berharap kajian tersebut dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai perbezaan harga dan seterusnya membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih berkesan untuk menangani isu kos sara hidup yang membebani rakyat.
Armizan juga bersetuju untuk menggunakan kepakaran dan hasil penyelidikan UMS dalam membangunkan produk dan perkhidmatan, serta menjalankan kajian-kajian
berkaitan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat Sabah.
“Kerjasama erat antara kementerian, universiti, dan komuniti tempatan adalah kunci untuk memajukan ekonomi setempat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,”
katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyatakan komitmen universiti dalam membantu komuniti melalui pelbagai inisiatif
penyelidikan dan pembangunan.
“UMS telah berjaya membangunkan sumber bekalan air bersih kepada 50 buah rumah di Pitas menerusi pengerudian air bawah tanah.
“Kualiti dan bekalan air ini dipantau secara berterusan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) untuk memastikan penduduk kampung mendapat akses
kepada air bersih yang berterusan,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa Papar terkenal dengan pelbagai jenis makanan kering yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
“UMS bersedia untuk membantu usahawan tempatan dalam meningkatkan kualiti produk melalui penambahbaikan kandungan, pembungkusan, dan strategi
pemasaran yang lebih efektif, terutamanya untuk tujuan eksport.
“Selain itu, UMS akan membantu usahawan tempatan mendapatkan pensijilan halal, yang bukan sahaja dapat membuka peluang pasaran lebih luas, tetapi juga
meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan,” ujar beliau.
Pada program tersebut turut diadakan pameran penyelidikan yang menonjolkan pelbagai inovasi UMS, antaranya ‘Batik Borneo’ dan ‘VIR Seni’ oleh Akademi Seni dan
Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, kajian geologi serta sistem pencarian dan perawatan air bawah tanah untuk bekalan air bersih, serta penyelidikan berkaitan makanan
ternakan ruminan oleh penyelidik-penyelidik UMS. – MalaysiaGazette
Ternakan oleh Dr. Razak Ali Lee.