JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenal pasti 745 lokasi hot spot banjir di negeri ini sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, bilangan itu meningkat dan merupakan paling tinggi berbanding sebelum tahun-tahun ini.
Jelas beliau, peningkatan itu berpunca daripada faktor perubahan iklim dan cuaca berbanding sebelum ini hanya 741 hot spot banjir dikenal pasti.
“Secara keseluruhannya, bilangan hot spot paling tinggi dikenal pasti adalah di Batu Pahat membabitkan 186 lokasi.
“Di Segamat mencatat 103 hot spot, Muar (87); Kluang (78); Tangkak (59); Pontian (58); Kota Tinggi (56); Johor Bahru (44); Mersing (38) dan Kulai (36),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Bantuan Sesi Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rohani juga menyampaikan geran bantuan libat urus kepada 59 pertubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membabitkan nilai keseluruhan RM90,000.
Mengulas lanjut, Siti Rohani berkata, semua aset sudah dalam keadaan bersiap sedia yang diletakkan pusat pangkalan hadapan (RFB) Zon Selatan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam.
Katanya, RFB merupakan pusat penempatan aset yang strategik bertujuan menyegerakan operasi menyelamat khusus pada musim banjir.
“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dinasihati supaya lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berlaku hujan lebat berterusan termasuk memastikan keselamatan diri.
“Mereka dinasihati supaya untuk tidak menunggu sehingga saat akhir sekiranya memerlukan pemindahan sementara,” katanya.
Rohani berkata, buat masa ini, Johor memiliki aset melibatkan 44 kenderaan pacuan empat roda, 10 lori dan 45 bot bagi menghadapi bencana banjir.
Pihaknya juga sudah mengenal pasti 119 lokasi bagi pendaratan helikopter di seluruh negeri ketika menghadapi kecemasan.
Katanya, sehingga kini, bilangan anggota bomba di Johor termasuk Pegawai Bantuan Bomba (PBB) adalah seramai 1,462.
Malah seramai 526 anggota PBS akan membantu respond time di kawasan luar bandar mahupun di kawasan terletak berjauhan dengan BBP, ujarnya.
“Sebagai langkah siap siaga, pengujian logistik operasi banjir sempena MTL akan dijalankan serentak seluruh negara selain turut dianjurkan bengkel pemantapan perintah dan kawalan bagi ketua balai.
“Ini termasuk kursus pemantapan pegawai kanan dan tata cara kerja membabitkan pesawat supaya mereka bertindak cekap ketika berlaku bencana,” katanya.- MalaysiaGazette