Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar balakang lori rosak di Kilometer 139.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Muar, semalam.

MUAR – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar balakang lori rosak yang diparkir tepi jalan di Kilometer 139.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 11.20 pagi melibatkan dua motosikal dan sebuah lori.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun berhenti di lorong kecemasan kerana lori dipandunya rosak.

“Kemudian datang sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur telah melanggar sisi kanan belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut mengakibatkannya terbabas di tengah jalan, pada masa sama datang sebuah motosikal lain ditunggang lelaki berusia 20 tahun melanggar penunggang itu.

Pelanggaran tersebut katanya, menyebabkan penunggang yang berada tengah jalan berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara penunggang kedua tersebut katanya, cedera dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk menerima rawatan.

Raiz Mukhliz memberitahu, kemalangan kedua pula berlaku di Kilometer 129.7 di lebuh raya yang sama, arah utara pada pukul 8 malam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa seorang penunggang berusia 22 tahun hilang kawalan dan terbabas ke parit bahagian kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujar beliau.

Tambah beliau, kertas siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan dibuka bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957.

Pihaknya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca buruk ketika ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here