Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Kehadiran kelasi dan kadet Tentera Laut China (PLAN) milik Task Group 83 negara itu yang memilih Pelabuhan Pulau Pinang sebagai lawatan persinggahan tidak wajar dijadikan isu politik, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini kerana menjadi amalan kerajaan menjalinkan dasar berbaik untuk untuk menerima mana-mana kapal dari luar negara berlabuh di negara ini kecuali dari Israel.

Malah jelas beliau, kerajaan telah pun menyertai operasi ketenteraan dengan banyak negara besar di dunia antaranya Amerika Syarikat, India dan China selama ini.

“Sekarang fasal kapal China datang dan hendak serang Pulau Pinang. Kita ada join military operation dalam kawasan kita dengan Amerika Syarikat, dengan India, China, Singapura dan Indonesia.

“Apa yang jadi masalahnya? Bagi saya tiada masalah, hal ini berlaku sejak lama.

“Dasar untuk berbaik untuk semua negara, kapal hendak berlabuh dalam semua pelabuhan kita, semua negara kita akan terus izinkan, tiada kompromi dan yang kita tidak bagi adalah Israel, yang lain masuklah kerana itu dasar kita yang amalkan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustri Cina Malaysia (ACCIM) Ke-78, di sini, hari ini.

Anwar tampil mengulas mengenai dakwaan kehadiran tentera dari China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu yang dipertikaikan pembangkang.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, sambutan berkenaan tidak sepatutnya dibuat sempena pelaksanaan latihan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu pun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu turut menegaskan sambutan luar biasa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu telah menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, Anwar menempak kerajaan sebelum ini yang pernah membenarkan kapal terbang Israel memasuki ruang udara selain kapal dari negara sama berlabuh di pelabuhan negara ini.

Namun jelas beliau, ia tidak menjadi isu pun ketika di bawah pentadbiran kerajaan dahulu hasil kerjasama Pas dan Bersatu.

“Kalau kerajaan dulu yang bersama Pas dan Bersatu, itu kapal terbang Israel pun boleh lalu. Kapal Israel pun boleh masuk pelabuhan tetapi tidak jadi isu.

“Sekarang jadi isu, saya hendak beritahu dia boleh kata apa yang dia suka, kita hendak jelaskan.

“Tetapi ini dijadikan isu, tengok, China sudah ambil alih kerana bila Anwar baik dengan Xi Jinping (Presiden China), kapal perang China sudah masuk,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here