Anggota polis melakukan ujian tahap kandungan alkohol terhadap seorang pemandu dalam Ops Patuh yang diadakan di seluruh Johor dari 1 Oktober hingga semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menjalankan Ops Patuh selama 12 hari di seluruh Johor dengan fokus utamanya pemandu mabuk dan samseng jalanan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi tersebut bermula 1 Oktober hingga semalam melibatkan enam kesalahan utama sering dilakukan pengguna jalan raya.

“Menerusi operasi ini kita menangkap 62 individu iaitu 58 lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 15 hingga 73 tahun.

“Tangkapan ini melibatkan 44 kes mabuk, sembilan samseng jalanan dan sembilan lagi bagi kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh operasi pihak polis mengeluarkan 397 keping saman dikeluarkan atas kesalahan memotong Q dan 453 saman bagi kesalahan langgar lampu isyarat.

Menurut beliau, kedua-dua kesalahan tersebut merupakan yang paling tinggi dan kerap dilakukan pengguna jalan raya.

Sebanyak 2,491 keping saman Pol 257 dan Pol 170A dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, katanya.

Dalam operasi itu juga, ujarnya, sebanyak 44 buah motosikal disita.

Tegas Kumar, operasi tersebut akan dijalankan secara berterusan dalam memastikan semua peraturan dan undang-undang jalan raya dipatuhi, dihormati dan dibudayakan.

“Tindakan tegas kepada mana-mana individu yang jelas secara cuai melanggar peraturan sehingga boleh mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Didik diri untuk jadi pemandu yang berhemah dan sentiasa saling hormat menghormati kerana jalan raya dikongsi bersama,” tambahnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here