Seorang pelajar IKTBN Pagoh maut selepas terlibat kemalangan berhampiran susur masuk ke Simpang Renggam di Kilometer 58, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara) di Kluang, malam tadi.

KLUANG – Seorang pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh maut selepas terlibat kemalangan berhampiran susur masuk ke Simpang Renggam di Kilometer 58, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu melibatkan Adam Zulkiflee, 20, dan Irfan Danish Faizel Amrey, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjananan pulang ke IKTBN Pagoh.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua pelajar IKTBN itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Pagoh.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, Irfan Danish yang berada di hadapan telah memberhentikan motosikal ditunggangnya kerana mengelak sebuah kereta memasuki susur masuk ke Simpang Renggam secara mengejut.

“Akibat daripada itu, Adam yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tayar motosikal ditunggang Irfan Danish menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin, akibat kejadian itu, Adam telah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ujarnya, rakan mangsa iaitu Irfan Danish tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini, untuk proses bedah siasat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here