Penduduk Kampung Sungai Serai membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir pada awal pagi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2024.

HULU LANGAT – Belum pun hilang trauma banjir besar yang melanda banyak kawasan di Selangor pada Disember 2021 – rakyat di negeri itu diuji bakal diuji sekali dengan bencana alam itu sepanjang Oktober ini.

Walaupun fenomena air pasang besar dan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula 17 hingga 20 Oktober ini namun Kampung Sungai Serai di sini antara kawasan terawal yang ditimpa perubahan cuaca itu.

Penduduk Kampung Sungai Serai membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir pada awal pagi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2024.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, penempatan luar bandar itu mula dilanda bencana alam itu bermula pukul 11.30 malam semalam dan hanya surut selepas tujuh jam bertakung, kira-kira 5.30 pagi tadi.

Meskipun paras banjir kilat kali ini hanya hampir satu meter dan tidak seteruk kira-kira empat tahun lalu namun ia sudah cukup menjadi mimpi buruk buat penduduk Kampung Sungai Serai.

Penduduk, Nor Sila Zulkamal.

Menurut Nor Sila Zulkamal, 53, dia lima beranak tidak menyangka rumahnya dinaiki air semula sedangkan paras air Sungai Langat, kira-kira 500 meter dari kediamannya tidak melimpah seperti empat tahun lalu.

“Banjir kali ini bukan berpunca daripada limpahan Sungai Langat di belakang rumah saya sebaliknya dari Batu 18 di mana kawasan lebih rendah dan berlaku limpahan air sebelum mengalir melalui Jalan Hulu Langat hingga menimpa kampung kami.

“Ini menyebabkan berlaku banjir termenung dan banyak kesan lumpur boleh didapati di merata tempat termasuk jalan raya dan bahu jalan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Penduduk Kampung Sungai Serai membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir pada awal pagi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2024.

Selain itu, Junaida Arsat, 58, pula berdepan detik cemas hingga terpaksa meninggalkan rumah apabila air mula mencecah paras betis kerana khuatir dengan keselamatan suaminya yang sukar bergerak akibat strok.

“Hanya kami berdua dalam rumah ketika air mula naik, anak pula jauh di Bukit Jalil. Sebelum paras air meninggi, saya capai dokumen dahulu dan bergegas keluar dari rumah.

“Malam semalam saya terpaksa bermalam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh dan kembali ke rumah semula pukul 7.30 pagi tadi,” katanya.

Martini Muhammad Saleh

Sementara itu, Ketua Guru KAFA Integrasi Kampung Sungai Sireh, Martini Muhammad Saleh yang ditemui ketika kerja-kerja pembersihan memberitahu, pihaknya terpaksa menutup institusi pendidikan itu beberapa hari.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah maklum keadaan sekolah ini dan sekolah diarahkan tutup buat sementara, lazimnya sehingga tiga hari.

“Banyak peralatan bantuan mengajar ditenggelami air dan perlu diganti segera. Bagaimanapun meja kerusi dan peralatan masih boleh digunakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here