Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada 37th LAWASIA Conference 2024 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – “Isu berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dijawab Menteri Agama”.

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan peguam hak asasi, Latheefa Koya, yang menyatakan bahawa RUU tersebut didakwa boleh mengurangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan LAWASIA kali ke-37 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti itu hanya terpakai kepada orang Islam dan terhad di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata, RUU itu bertujuan menyediakan peruntukan berkaitan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta hal-hal berkaitan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Menurutnya lagi, penggubalan undang-undang seperti itu merupakan ciri-ciri negara berdaulat di mana tiada individu boleh melanggar prinsip Perlembagaan.

Beliau menambah, sekatan terhadap kebebasan individu tidak bermaksud hak asasi dilanggar kerana keabsahan hak tersebut ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

RUU itu juga, menurutnya, sebahagian daripada usaha untuk memastikan hukum syarak dipatuhi secara tertib dan dalam kerangka undang-undang yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here