Bahrin menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam sebuah rumah, seleaps sidang akhbar di IPD Kluang, hari ini

KLUANG – Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah bernilai RM74,822 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Chokro, Simpang Renggam, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, serbuan pukul 2.30  petang itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Hasil serbuan itu, seramai empat lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 45 tahun termasuk penyewa rumah ditahan.

“Rumah tersebut disewa dan siasatan mendapati kediaman itu dijadikan sebagai pangkalan bekalan dadah di daerah ini sejak dua tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kluang, di sini, hari ini.

Katanya, hasil serbuan itu, polis berjaya menemui satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.01 gram (g) dan satu bungkusan plastik wanna hijau bertulisan Guanyinwang Chinese Tea disyaki berisi dadah jenis syabu anggaran 1,047g.

Turut dirampas katanya, sembilan peket plastik lutsinar disyaki berisi syabu anggaran berat 755.50g  dan satu peket plastik disyaki berisi dadah jenis heroin anggaran berat 106.50g.

Pihaknya turut menemui 80 foil aluminum warna merah serta silver disyaki berisi dadah jenis Pil Eramin 5 (800 biji) anggaran berat 251.50g.

Bahrim memberitahu, keseluruhan nilai dadah dianggarkan berharga RM74,822.50 yang boleh digunakan sehingga 9,000 penagih jika terlepas ke pasaran.

Katanya, hasil semakan, tiga daripada lima tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati kelima-lima tangkapan positif jenis dadah Methamphetamine dan Morphine,” ujarnya.

Semua suspek telah dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober ini, katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 12 sebatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here