Pelajar baharu dengan pengurusan ELMU, Datuk Dr. Kassim, duduk lima dari kiri.

NILAI – – Seramai 21 orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari seluruh negara mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama pelajar baharu Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), universiti penguatkuasaan undang-undang yang pertama di wilayah Asia.

Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, enam orang pelajar dari agensi penguatkuasaan itu mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala 15 orang lagi mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana secara separuh masa.

“Mereka merupakan sebahagian daripada sejumlah 40 orang pelajar kohort pertama yang mendaftar sebagai pelajar ELMU. Mereka berada di kampus ini sebagai kumpulan perintis bagi memulakan perjalanan baharu,” katanya.

Dr. Kassim menjelaskan pelajar berkenaan menerima Biasiswa Separa daripada ELMU Foundation dengan kerjasama Yayasan Prihatin SPRM mengangkat sumpah selepas majlis taklimat dan orientasi universiti itu baru-baru ini.

Sementara itu, semua pelajar baharu di bawah program tajaan berkenaan menyambut baik usaha kedua-dua yayasan itu bekerjasama bagi meningkatkan tahap kerjaya para pegawai SPRM di seluruh negara.

Mohd. Suhaimi Mohamed Yusof, 42, yang mengikuti pengajian Bachelor in International Law Enforcement (Honours) berkata, sebab utama beliau menyambung pelajaran ialah demi meningkatkan kerjayanya.

“Bagi saya, belajar akan membuatkan otak kita sentiasa berfikir serta lebih kritis dan kreatif dalam memberi pandangan dan membuat keputusan. Belajar ilmu baharu akan memberi satu idea dan perspektif yang baharu.

“Selain itu, saya juga mahu melatih diri saya untuk lebih berdisiplin dalam sesi pembelajaran, disiplin dalam pengurusan masa, kewangan dan menepati masa. Belajar juga merupakan tuntutan agama, jadi secara tidak langsung saya cuba menjadi seorang manusia yang menjurus ke arah yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

Suhaimi yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Kanan Penguasa di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berkata, beliau memilih ELMU kerana selain tawaran dan peluang yang diberikan oleh jabatan, ELMU adalah sebuah universiti yang mampu melahirkan lulusan yang berkualiti walaupun baru beroperasi.

Penolong Pesuruhjaya SPRM yang berasal dari Sarawak, Moses anak Lawrence, 49, pula berkata beliau ingin menguasai kemahiran dalam bidang penguatkuasaan undang undang dengan lebih mendalam.

“Dengan perkembangan semasa dan teknologi yang berkembang maju, ELMU dilihat mampu berfungsi sebagai paksi pembangunan sesebuah organisasi yang berteraskan kepada penguatkuasaan undang-undang selaras dengan dasar kerajaan berteraskan pengurusan nilai dalam melahirkan pegawai penguatkuasa undang-undang yang dapat membentuk serta mengorientasikan pemikiran analitik, kritis dan kreatif,” katanya yang juga mengambil mengambil Bachelor in International Law Enforcement (Honours) .

Sementara itu, pelajar Master in Criminology and Criminal Justice, Haliza Sahafiai, 41, berkata, beliau memilih untuk menyambung pelajaran di ELMU kerana universiti itu adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian yang khusus dalam bidang penguatkuasaan undang-undang yang sangat relevan dengan tugasnya di SPRM.

“Sebagai penjawat awam yang bertugas dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, sebelum ini di Jabatan Imigresen dan sekarang di SPRM, sudah pasti ELMU menjadi pilihan terbaik untuk mendalami ilmu dalam bidang yang saya minati,” kata ibu kepada empat anak yang kini berkhidmat sebagai Ketua Cawangan SPRM Sungai Petani, Kedah.

ELMU yang menerima kelulusan operasi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada Februari 2024 menawarkan sebelas program pengajian pada peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here