Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan berkuatkuasa arahan 17 Julai lalu, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata, bagi Ahli Parlimen yang belum melakukannya, tarikh akhir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah pada 11 November depan.

“Saya ingin menarik perhatian bahawa pada 17 Julai 2024 yang lalu, saya telah memaklumkan kepada semua Ahli Yang Berhormat berkenaan kewajipan pelaksanaan pemeriksaan kesihatan ole Ahli-ahli Yang Berhormat.

“Sehingga hari ini, terdapat Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli-ahli Yang Barhormat yang telah melaksanakan pemeriksaan kesihatan ini.

“Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan, saya menyeru untuk melaksanakannya.

“Untuk makluman, tarikh akhir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah pada 11 November 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pemasyhuran Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, seiring penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu, sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu termasuk di bangunan Parlimen.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menetapkan merokok dan penggunaan rokok elektronik perlu melebihi jarak tiga meter dari bangunan,” katanya.

Sementara itu, Pemasyhuran Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 akan bersidang selama 35 hari bermula hari ini hingga 12 Disember depan dengan tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu akan berlangsung pada18 Oktober ini dan akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Oktober hingga 5 November depan sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa bermula 13 November hingga 3 Disember ini untuk diluluskan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here