Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Jumaat ini harus memberi tumpuan untuk mengatasi kekurangan bilik darjah terutamanya di sekolah-sekolah yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, perkara itu perlu ditangani segera supaya proses pembelajaran berlangsung dalam keadaan selesa.

Beliau turut memberi contoh terdapat sekolah di kawasan Seri Serdang dan Puchong mempunyai kepadatan tinggi sehingga bilangan murid mencecah 50 orang dalam satu-satu kelas.

Abbas Azmi.

“Apabila kelas sesak, guru pun penat. Bahkan, ada sekolah yang terpaksa menyewa bangunan lain untuk kelas tambahan dan membeli kabin untuk kelas sementara.

“Masalah ini perlu ditangani segera kerana pelajar-pelajar perlu keselesaan untuk belajar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu, katanya, bantuan kewangan harus disasarkan kepada golongan yang lebih memerlukan untuk memastikan pengurusan kewangan negara kekal stabil.

Menurut beliau, bantuan secara rawak tidak menangani masalah kelompok yang benar-benar memerlukan bantuan, sekali gus menyebabkan kekuatan ekonomi terjejas.

Selain itu, beliau juga mahu perhatian diberikan kepada pelaburan infrastruktur terutamanya dalam menangani masalah banjir yang semakin meruncing di beberapa negeri termasuk Kedah, Johor dan Selangor.

“Bantuan kewangan secara one-off hanya meringankan beban ketika bencana berlaku tetapi apa yang penting kerajaan perlu melaksanakan penyelesaian jangka panjang untuk mengelakkan banjir berulang meskipun melibatkan kos yang besar,” katanya.

Jelas beliau, langkah itu perlu demi memastikan penduduk selamat dan selesa terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

Tambah Abbas, pembentangan belanjawan yang dibentangkan setiap tahun perlu membawa pembaharuan nyata, terutama dalam isu-isu yang melibatkan kehidupan harian rakyat. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here