Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas di Lebuhraya MEX dalam insiden awal padi Isnin. Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan di KM 8.5 Lebuhraya Maju (MEX) pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner
Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima nahas itu kira-kira jam 7.46 pagi.

“Semasa kejadian, penunggang motosikal seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun dipercayai telah terbabas sendiri akibat jalan licin kerana hujan lebat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Akibat nahas itu, mangsa terjatuh atas jalan dan terkena pada tiang penghadang besi menyebabkan dia cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan mangsa merupakan editor video Astro Awani.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Hafiz Azhar Nordin dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum kejadian berlaku.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras dan kini dalam perjalanan dibawa ke rumah Allahyarham di Melaka dan dijangka dikebumikan selepas solat Asar nanti.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here