Orang ramai membeli barang keperluan harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Golongan wanita menyuarakan harapan agar Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Jumaat ini akan memberi tumpuan kepada isu-isu utama melibatkan kesejahteraan keluarga terutama kenaikan harga barang yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar ini.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette mengakui kenaikan harga barang mentah makanan memberi tekanan hidup kepada mereka terutama yang memiliki anak ramai.

Lantaran itu, mereka berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangan sewajarnya dalam bentuk bantuan kepada golongan B40 dan M40 yang kini terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Seorang suri rumah, Azurawati Ehsan, 41, berharap Belanjawan 2025 dapat memberi tumpuan kepada kenaikan harga barang kerana lonjakan harga barangan keperluan harian memberi kesan terutamanya kepada isi rumah yang memiliki anak ramai.

Azurawati Ehsan

“Barang dapur sekarang memang semua naik harga. Dulu dengan duit sebanyak RM300 penuh satu troli, sekarang tak dapat, suku sahaja,” katanya.

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Umi Kalsum Zakaria, 40, berkata, dia menghargai bantuan kerajaan melalui STR sebanyak RM1,500.

Katanya, dengan bantuan itu sedikit sebanyak telah membantu meringankan tekanan kewangan yang dihadapi keluarganya.

Bagaimanapun, menurut suri rumah tersebut, sumbangan yang diberikan masih belum mencukupi untuk meringankan sepenuhnya beban kos kehidupan seharian.

Umi Kalsum Zakaria

“Kalau boleh, untuk Belanjawan 2025, saya harapkan kerajaan dapat naikkan bantuan STR yang sedikit sebanyak dapat bantu beli barang dapur, keperluan-keperluan harian.

“Saya berharap, jika boleh, bantuan STR dinaikkan sehingga RM2,500,” jelasnya.

Seorang lagi penerima STR, Nurul Faiza, 39, juga mengharapkan agar jumlah pembayaran ditingkatkan, khususnya bagi individu yang sudah berkahwin kerana harga barang keperluan terus meningkat.

“Kenaikan harga barang makanan cukup memberi tekanan kepada isi rumah. Puas berjimat tetapi langkah ini masih tidak cukup untuk menampung pembelian barang-barang mentah untuk dimakan.

“Semua barang naik, ikan, sayur, barang-barang kering. Sampai tidak tahu nak jimat macam mana lagi,” katanya.

Selain itu, dia juga turut menekankan tentang kepentingan meluaskan sektor pekerjaan kepada golongan wanita.

Nurul Faiza

“Kita kena percaya kepada kemampuan perempuan, kalau boleh bagi peluang lebih dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan wanita.

“Sekarang ni semua pekerjaan wanita boleh buat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, isu kesihatan wanita turut menjadi salah satu perkara yang diharapkan diberi perhatian oleh kerajaan.

Seorang penjawat awam, Azizan Aziz, 47, mahu lebih banyak peruntukan dan kemudahan diberikan oleh kerajaan dalam sektor kesihatan kepada golongan wanita.

Azizan Aziz

“Saya berharap agar  inisiatif cuti bersalin berbayar ditambah baik, kerana ini akan membantu mengurangkan beban kos yang dihadapi mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast