Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Hari tanpa gula akan dilaksanakan di Parlimen setiap Rabu mulai minggu ini, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata, usaha itu bagi menyemai gaya hidup sihat yang turut melibatkan semua kakitangan termasuk Ahli Parlimen.

“Bagi menyemarak gaya hidup sihat, program Hari Tanpa Gula. Saya ulangi Hari Tanpa Gula akan dilaksanakan di Parlimen Malaysia pada setiap hari Rabu.

“Hari tanpa gula ini bukan sahaja akan melibatkan kakitangan Parlimen tetapi turut melibatkan ahli-ahli Parlimen juga.

“Ini selaras dengan gaya hidup sihat yang perlu diamalkan bersama termasuk teh tarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pemasyhuran Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mesyuarat ketiga akan bersidang selama 35 hari bermula hari ini hingga 12 Disember depan dengan tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu akan berlangsung pada18 Oktober ini dan akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Oktober hingga 5 November depan sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa bermula 13 November hingga 3 Disember ini untuk diluluskan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here