Ihsan Foto : FAM

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya gagal mencipta kejutan apabila tewas 0-4 kepada New Zealand dalam perlawanan persahabatan di Stadium North Harbour, Auckland hari ini.

Kekalahan ini jelas menunjukkan jurang kualiti antara kedua-dua pasukan, dengan Malaysia berusaha keras namun tidak dapat melepaskan diri daripada dominasi tuan rumah.

Seperti yang dijangkakan, New Zealand tampil lebih dominan apabila menguasai sebahagian besar permainan pada babak pertama serta berjaya mencipta banyak peluang.

Walaupun Harimau Malaya cuba memberi tentangan, namun anak buah Pau Marti Vicente sukar menguasai bola, menyaksikan bola banyak berada di kawasan Malaysia untuk 45 pertama.

Hanya pada penhujung separuh masa pertama, pemain negara menampakkan sedikit peningkatan dengan beberapa kali berjaya memasuki kawasan penalti lawan.

Malaysia memulakan separuh masa kedua dengan baik, namun tidak dapat meneruskan momentum apabila pemain lawan, Elijah Just menjaringkan gol pembukaan All Whites pada minit ke-53.

Gol tersebut menyuntik semangat New Zealand menambah jaringan melalui Matthew Garbett pada minit ke-61, dan 10 minit kemudian penyerang, Chris Wood, terus melebarkan jurang jaringan.

Logan Rogerson melengkapkan kemenangan bergaya New Zealand dengan jaringan keempat pada minit ke-90. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here