JIM menahan 35 penjaja warga asing dalam Ops Selera di sebuah festival makanan jalanan di Bandaraya Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 35 penjaja warga asing dalam Ops Selera di sebuah festival makanan jalanan di bandar raya ini kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut yang bermula pukul 8.30 malam melibatkan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.

Beliau memberitahu, pihak JIM Johor menyerbu lebih 52 gerai dalam festival berkenaan.

“Tindakan diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas dan permit yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Seramai 102 warga asing dan warga tempatan diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, terdapat cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan di beberapa buah gerai namun tindakan cekap pegawai kesemua warga asing tersebut berjaya dicekup.

Menurut beliau, semua mereka yang ditahan melibatkan 20 lelaki dan enam wanita warganegara Thailand serta lapan lelaki dan seorang wanita Indonesia.

Mereka yang ditahan berusia antara 19 tahun hingga 55 tahun.

Kesemua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial (PLS).

Ia termasuk juga kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa, katanya.

Sebanyak lima notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan, katanya.

Tambahnya, JIM Johor akan terus komited membanteras warga asing yang menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here