Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Isu-Isu Semasa Agama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penubuhan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Agama Islam Negeri Johor semalam.

“Penubuhan jawatankuasa ini selaras dengan Seksyen 7(1), Seksyen 6 dan Seksyen 27 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Jawatankuasa ini bersifat tetap yang boleh bersidang pada bila-bila masa apabila timbul isu-isu agama Islam yang boleh menggugat akidah, syariah dan akhlak serta hukum syarak sekali gus menggugat ketenteraman masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, fungsi jawatankuasa itu adalah mengkaji, meneliti dan mencadangkan kepada MAINJ serta jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat bagi melaksanakan tindakan lanjut berkaitan sesuatu isu yang terkait agama Islam.

Selain itu ujarnya, jawatankuasa itu melibatkan semua jabatan dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan termasuk polis bagi memastikan kesan penguatkuasaan yang menyeluruh.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here