FB FELDA

KUALA LUMPUR- Perkhidmatan Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai Pengarah Besar tamat pada hari ini selepas empat tahun menerajui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

FELDA dalam satu kenyataan berkata seluruh pihak pengurusan dan warganya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Amiruddin atas kepimpinan serta perkhidmatan cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang tempoh beliau mengetuai FELDA.

“Sepanjang tempoh khidmat, Amiruddin telah memimpin FELDA melalui pelbagai cabaran dengan penuh dedikasi dan visi yang jelas terutama dalam tempoh pasca- pandemik COVID-19.

“Beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan termasuk pelaksanaan Kertas Putih: Ke Arah Kelestarian FELDA, yang merangka sebuah model FELDA Baharu,” katanya.

Model itu bukan sahaja akan memperkukuhkan asas organisasi tetapi turut memberi manfaat langsung kepada warga peneroka serta meningkatkan kesejahteraan komuniti FELDA.

Bermula daripada 15 Okt 2020, Amiruddin berjaya memulihkan kewangan FELDA melalui langkah pembaharuan dan pengurusan yang cekap.

“Pendekatan tegas beliau dalam kawalan kos dan peningkatan hasil operasi meletakkan FELDA kembali di landasan yang stabil,” katanya.

Amiruddin turut menekankan pembangunan ekosistem holistik, merangkumi kecekapan operasi serta pengurusan sumber bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang FELDA yang mampan dan berdaya tahan.

“Asas yang dibina ini akan menjadi panduan untuk kejayaan FELDA pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here