Datuk Abdul Halim Tawil

MELAKA – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings (GISBH) sebagai sesat kerana hasil kesinambungan ajaran Al-Arqam yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam di negara ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat berkenaan yang dipengerusinya sendiri pada 3 Oktober lalu sekali gus menjadikan Melaka negeri keempat memutuskan GISBH sebagai sesat dan menyeleweng.

Bagaimanapun, jelasnya, proses pewartaannya dari sudut pentadbiran perlu dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka sebelum diangkat untuk mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim.

“Kita melihat ada beberapa perkara dalam elemen bukan sekadar GISBH tapi juga serpihan-serpihan daripada kumpulan pengasas Al-Arqam khususnya daripada keluarga Allahyarham Asaari Muhammad.

“Ada persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa yang telah difatwa haram di Melaka pada tahun 1994 dan 2007 namun kini dijenamakan semula sebagai GISBH,” katanya.

Sebahagian daripada peserta hadir pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga memfokuskan kepada langkah pemulihan kepada ahli-ahli GISBH yang mungkin sukar untuk kembali kepada pangkal jalan.

“Ini termasuklah melibatkan anak, isteri dan sebagainya dan perkara-perkara itu sedang dikesan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Majlis Keselamatan Negeri dan juga JAIM.

“Sehubungan itu, masyarakat Islam di Melaka diingatkan supaya sentiasa memastikan diri dan keluarga bebas daripada elemen-elemen ajaran sesat yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mengisytiharkan GISBH sebagai sesat kerana mempunyai unsur ajaran sesat khususnya batiniah, diikuti Selangor dan Pahang.

Pada 21 September lalu, MalaysiaGazette melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu dalam serbuan ke atas 19 premis berkaitan GISBH.

Serbuan dalam Op Global itu melibatkan 10 buah premis di Melaka Tengah, Alor Gajah (8) dan sebuah premis di Jasin iaitu tiga buah rumah persendirian, dua buah rumah kebajikan dan 14 buah premis perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Buku-buku berkaitan Al-Arqam dirampas yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuklah Aurad Muhammadiyah, satu keping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, diari catatan ajaran Al-Arqam, serban Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan Al-Arqam.

Polis Melaka turut menahan 45 individu termasuk 34 kanak-kanak dalam serbuan itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here