Seramai 83 mangsa banjir dari empat kampung dalam kawasan Bukit Permai ditempatkan di PPS Dewan Raya Murni Jaya, Kulai, hari ini

KULAI – “Pihak berwajib memang patut datang tengok, pantau keadaan banjir ni. Tiap-tiap tahun berlaku dan banyak barang dah habis rosak dan kita pun letih asyik nak betulkan saja.”

Itu luahan dan permintaan mangsa banjir dari Kampung Sungai Siam di sini, Rosana Mohd Salleh, 53.

Dia berkata, sudah tiba masanya pihak berwajib bertindak bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan yang sudah lama berlarutan.

Rosana mendakwa, banjir yang berlaku setiap tahun itu menimbulkan kesulitan terhadap keluarganya kerana terpaksa membersihkan dan menggantikan peralatan atau perabot yang rosak.

“Kali ini air banjir naik terlalu mendadak. Ada barang dapat diselamatkan, ada yang tidak. Kalau boleh, kita nak ada tindakan daripada pihak berwajib,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Raya Murni Jaya di sini hari ini.

Seramai 83 mangsa banjir melibatkan 19 keluarga dari Kampung Murni Jaya, Kampung Sungai Siam, Kampung Sungai Sayong dan Kampung Sungai Besoi ditempatkan di PPS itu setakat pukul 4 petang ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Muhammad Nur Aliff Pawito, 29, bersama-sama keluarga berpindah ke PPS berkenaan kelmarin selepas air masuk dalam rumahnya.

Katanya, ini kali pertama air banjir masuk ke dalam rumah berbanding insiden banjir sebelum ini yang hanya landai di luar rumah.

“Masa pindah ke PPS di sini, air sudah tinggi jugalah di luar rumah sebelum menyebabkannya melimpah masuk ke dalam rumah, tak macam selalu.

“Masa hujan kelmarin, dah empat kali naik dan surut, tapi selepas itu air sampai melimpah dalam rumah, (jadi) saya dan keluarga buat keputusan berpindah ke PPS ini.

“Alhamdulillah, kami sempat kemaskan barang-barang sebelum berpindah ke sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Murni Jaya, Mohd Azam Saa’don, 50, berkata, kebanyakan mangsa banjir di PPS berkenaan sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun katanya, pihaknya terpaksa menangguhkan dahulu kepulangan mangsa banjir kerana keadaan semasa tidak mengizinkan mereka berbuat demikian.

“Alhamdulillah, sekarang ini dah tak ada hujan lebat, tetapi keadaan hujan gerimis masih berlaku dan keadaan cuaca pula agak mendung,” katanya.

Keputusan itu dibuat katanya, selepas mendapat nasihat pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sukarelawan Malaysia (Rela), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here