Rafik Harris Lu Abdul Raafee

KUANTAN – Polis memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang dan meninggalkan sekeping nota kepada ibu saudaranya mengatakan dia keluar mencari kerja.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia merupakan kejadian kali kedua  remaja tersebut hilang.

Sebelum ini mangsa berjaya ditemui selepas dua hari kehilangannya pada awal bulan lalu.

Namun selepas 10 hari dijumpai, polis sekali lagi menerima laporan kehilangan remaja yang juga orang kelainan upaya (OKU), Rafik Harris Lu Abdul Raafee pada 12 Oktober lalu.

”Beliau dikatakan memakai baju T-shirt hitam, berseluar trek hitam, memakai jam tangan berwarna hitam keemasan dan berselipar kelabu ketika kali terakhir kelihatan.

”Hasil siasatan polis, remaja ini pernah dilaporkan hilang pada 1 Oktober dan telah ditemui semula pada 3 Oktober Alor Star, Kedah,” katanya.

Wan Zahari berkata, mangsa dikatakan tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibu dan bapanya berpisah.

Tambahnya, mangsa juga merupakan seorang OKU yang mempunya masalah pembelajaran dan masih bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas di Kuantan.

”Remaja ini telah meninggalkan nota kepada ibu saudaranya dengan mengatakan ingin keluar rumah untuk mencari kerja dan akan pulang semula ke rumah pada waktu malam,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa dengan remaja ini boleh berhubung terus dengan mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here