Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi menyerahkan sijil pernyataan perjanjian kolaborasi di antara TERAJU dan wakil syarikat pada Majlis Pelunucran Teraju Aspirasi Outreach TERAJU Connect 2024 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Syarikat bumiputera berpeluang memperkasakan perniagaan mereka menerusi dana terbaharu berlandaskan shariah di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) iaitu Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebagai permulaan, sebanyak RM100 juta disediakan di bawah program itu yang dijalankan menerusi pembiayaan antara rakan setara (P2P) secara jangka pendek untuk tujuan modal pusingan perniagaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berucap pada Majlis Pelunucran Teraju Aspirasi Outreach TERAJU Connect 2024 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OKTOBER 2024

Jelas beliau, syarikat bumiputera yang berminat boleh memohon dana itu sehingga RM1 juta menerusi laman web TERAJU menggunakan invois perolehan syarikat.

“Ini juga adalah produk P2P patuh shariah antara yang paling awal dan ia juga membuka ruang kepada syarikat bumiputera lain yang ingin turut serta yang mana mereka boleh meletakkan dana mereka kerana kadar keuntungannya lebih baik berbanding meletakkan dana mereka di bank,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis peluncuran Program i-WCPF, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi.

Sementara itu, Rafizi berkata, inisiatif i-WCPF yang dilancarkan hari ini serta inisiatif lain di bawah TERAJU merupakan sebahagian daripada mandat yang diberikan kepada agensi berkenaan untuk membina ekosistem pemerkasaan dan pemerdayaan usahawan bumiputera yang lebih lengkap.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada Majlis Pelunucran Teraju Aspirasi Outreach TERAJU Connect 2024 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OKTOBER 2024

Jelas beliau, inisiatif itu juga bukan sekadar kerajaan menyediakan peruntukan semata-mata, sebaliknya turut membuka ruang kepada usahawan yang telah berjaya untuk turut serta membantu usahawan lain dari sudut bimbingan, latihan, rangkaian dan sebagainya.

“Hasrat saya supaya TERAJU terus berdaya saing dan mampu  menggalas tanggungjawab seperti dewan-dewan perniagaan Cina membantu syarikat-syarikat Cina dalam ekosistem bukan bumiputera.

“Kita nak TERAJU sampai ke peringkat itu, baru kita boleh dapat bantu lebih banyak syarikat-syarikat bumiputera,” katanya.

Berdasarkan maklumat disediakan TERAJU, Program i-WCPF itu bertujuan menyediakan akses pantas dan mudah kepada pembiayaan  untuk perusahaan bumiputera melalui platform digital.

Ia juga bagi memudahkan perusahaan bumiputera peringkat pertengahan mengembangkan operasi di peringkat global dan domestik dalam  industri bernilai tinggi dan menawarkan sumber pembiayaan alternatif yang biasanya  tidak ditawarkan oleh institusi kewangan, penyedia perkhidmatan kewangan dan agensi  kerajaan.

Program i-WCPF itu menawarkan had pembiayaan sehingga RM1 juta kepada syarikat sasaran di dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dengan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.

Ia juga akan dilaksanakan melalui rakan kolaborasi dengan fokus utama adalah membantu syarikat sasaran beroperasi secara sendiri dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here