Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam majlis pelancaran GBS.

KUALA LUMPUR – TM melalui TM One, cabang penyelesaian perniagaan sektor perusahaan dan kerajaannya, telah melancarkan Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) yang pertama di Pantai Timur.

Pusat yang bertempat di Marang, Terengganu ini memanfaatkan teknologi termaju, termasuk Kecerdasan Buatan atau AI dan Robotic Process Automation (RPA), untuk memberikan perkhidmatan dan keupayaan perniagaan digital secara strategik, serta menarik dan menggalakkan pelaburan baharu di wilayah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pusat GBS ini adalah fasa seterusnya dalam usaha TM untuk memajukan infrastruktur digital Malaysia, memperkasakan perniagaan, komuniti dan kerajaan dalam ekonomi digital.

Dibina pada platform berasaskan awan yang selamat dan memanfaatkan teknologi AI, penyelesaian ini menyediakan ciri seperti AI perbualan, ejen maya dan saluran digital, membolehkan respons pantas dan cekap melalui interaksi berbilang saluran.

“Menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan digital Marang dan komuniti sekitarnya, pusat ini mencerminkan aspirasi Digital Powerhouse kami dalam memperkasa ekosistem bakat tempatan untuk keterangkuman digital di seluruh negara,” katanya.

Terletak di antara bandar-bandar utama seperti Kuantan dan Kuala Terengganu, pusat ini dilengkapi untuk mengendalikan projek berskala besar untuk pelbagai organisasi.

Perkhidmatan ini boleh disesuaikan mengikut keperluan organisasi, menyepadukan dengan sistem sedia ada untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang berterusan kepada para pelanggan.

Bermula dengan kapasiti awal 300 tempat duduk, pusat ini direka untuk skala sehingga 1,500 tempat duduk.

Ia dilengkapi dengan keupayaan berbilang bahasa dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab, membantu organisasi memenuhi demografi pelanggan yang pelbagai.

Pusat itu dijangka memberi perkhidmatan kepada agensi negeri utama termasuk Syarikat Air Terengganu (SATU), pengendali bekalan air berlesen untuk 1.2 juta penduduk di negeri ini lanjutan daripada pengurusan sedia ada Pusat Khidmat Pelanggan SATU oleh TM One dan akan meliputi perhidmatan merentasi saluran suara dan digital seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan platform-platform media sosial. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here