Tangakap layar memaparkan sebuah kereta dipandu melulu dan berbahaya di di Jalan Kempas Lama dan Jalan Setia Tropika Utama, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Tular sebuah kereta Proton Iswara biru dipandu secara berbahaya di Jalan Kempas Lama dan Jalan Setia Tropika Utama, di sini, semalam.

Video berdurasi 1 minit 20 saat itu memaparkan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan kerap menekan brek dan pada masa sama menukar haluan secara tiba-tiba.

Pemanduan lelaki tersebut dirakamkan kamera papan pemuka sebuah kenderaan di belakangnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya terkesan video terbabit yang tular dalam Facebook Komuniti Johor.

“Laporan polis telah dibuat pukul 1.28 petang tadi berkaitan kejadian itu. Siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku semalam.

“Kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun telah keluar dari simpang tanpa berhenti di Jalan Kempas Lama sehingga Jalan Setia Tropika,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu sesara melulu dan membayakan.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 untuk kesalahan pertama.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat menerusi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here