Pasukan keselamatan Israel berkumpul di tapak serangan dron Hezbollah berhampiran bandar Binyamina di utara-tengah Israel, pada 13 Oktober 2024. foto AFP

TEL AVIV – Empat askar tentera penjajah Israel terbunuh dan 67 lagi cedera dengan tujuh parah akibat serangan dron (UAV) Hezbollah ke atas pangkalan tentera berhampiran Binyamina di tengah negara itu, pada malam Ahad.

Media Isarel melaporkan serangan disasarkan ke sebuah dewan makan di dalam pangkalan sebelum 7 malam.

The Times of Israel melaporkan, siasatan awal ke dalam serangan itu menunjukkan bahawa dua dron yang dilancarkan oleh Hezbollah memasuki ruang udara Israel dari laut.

Kedua-duanya adalah dron “Mirsad”, yang dikenali di Iran sebagai Ababil-T. Model itu adalah dron utama Hezbollah dan penggunaannya bukanlah unik atau tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut Pusat Alma, sebuah institut penyelidikan Israel yang memberi tumpuan kepada cabaran keselamatan di utara, dron itu mempunyai “jarak serangan 120 kilometer, kelajuan tertinggi 370 kilometer sejam, kapasiti untuk membawa sehingga 40 kilogram bahan letupan, dan keupayaan untuk terbang pada ketinggian sehingga 3,000 meter.”

Kedua-dua dron telah dikesan oleh radar Israel, dan satu ditembak jatuh di luar pantai utara Haifa. Siren berbunyi di kawasan barat Galilea.

Pesawat dan helikopter IAF mengejar dron kedua, tetapi ia melepasi adar dan tentera Israel kehilangan jejaknya, mungkin kerana ia terbang sangat dekat dengan tanah.

Tiada siren berbunyi kerana andaian ia telah terhempas atau dipintas sebaik sahaja ia hilang.

Jurucakap tentera Israel (IDF) Daniel Hagari berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berikutan serangan dron terbabit gagal membunyikan siren amaran di Israel.

“IDF mempunyai kawalan operasi penuh ke atas insiden itu,” kata Hagari, menggesa orang ramai supaya mengelak daripada menyebarkan khabar angin mengenai serangan itu sementara fakta masih dipastikan.

“Kami akan menyiasat bagaimana UAV boleh lolos tanpa amaran dan menyerang pangkalan,” katanya.

“Kami dikehendaki menyediakan perlindungan yang lebih baik,” katanya. “Kami akan menyiasat kejadian ini, belajar daripadanya dan menambah baik.”

Kebanyakan tentera yang cedera berpunca daripada serpihan, walaupun perkhidmatan ambulans berkata, ia turut merawat sembilan orang kerana mengalami kebimbangan akut.

Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan barisan ambulans dan sebuah helikopter tiba untuk memindahkan mangsa yang cedera.

Kebanyakan mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Hillel Yaffe di Hadera untuk rawatan, dan yang lain dipindahkan ke Hospital Sheba di Ramat Gan, Hospital Ramban di Haifa, dan Pusat Perubatan Rabin di Petah Tikva.- Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here