Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Semua 560 orang kanak-kanak dikaitkan dengan Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) yang sedang berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada masa ini masih dalam proses siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun memberi jaminan matlamat akhir kementeriannya itu bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga.

Namun jelas beliau, sebelum ia boleh direalisasikan, pelbagai perkara perlu dinilai dan dipertimbangkan.

“Ini semua bukanlah untuk menidakkan hak mana-mana pihak tetapi ia adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu.

“Dalam hal ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah merangka hala tuju yang komprehensif berdasarkan prinsip kerja sosial terhadap kanak-kanak ini dengan perancangan tertentu berdasarkan peruntukan 10 perundangan yang meliputi beberapa kategori kanak-kanak” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri Berkenaan Isu Kebajikan Kanak-Kanak Yang Diselamatkan Dalam Op Global Membabitkan GISB di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, KPWKM melalui JKM telah terlibat dalam Op Global secara langsung bermula dari hari pertama operasi lagi iaitu pada 11 September lalu.

Kata beliau, ia melibatkan seramai 884 pegawai JKM yang terdiri daripada Pelindung, Pegawai Diberi Kuasa dan Pegawai Psikologi terlibat dalam Siri Op Global.

“Dalam operasi ini, JKM bertindak mengikut punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak (Akta 611), iaitu pelantikan dan kuasa Pelindung serta Seksyen 17(1)(d) yang menetapkan keperluan perlindungan kanakkanak.

“Selain itu, tindakan juga diambil berdasarkan Akta Pusat Jagaan 1994 (Akta 506) yang memperuntukkan mengenai pelantikan dan kuasa Pegawai Diberi Kuasa.

“Peranan JKM dalam Op Global adalah menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama PDRM, menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak, mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke Tempat Selamat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here