Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap dalang-dalang yang melakukan Langkah Dubai di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin diingatkan supaya memberi tumpuan kepada kestabilan politik.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said membuat peringatan itu berikutan tular podcast Shamsul Iskandar berkaitan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 melibatkan kerusi ditandingi beliau di Parlimen Bagan Datuk yang melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya ingin mengingatkan Datuk Seri Shamsul agar dapat memberikan tumpuan kepada kestabilan politik negara dan mengelakkan daripada sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan kerana ia hanya akan mencetuskan spekulasi yang tidak wajar dan ini tentunya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia,” tegasnya dalam kenyataan.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) turut menekankan pentingnya ketelusan dan menghormati proses demokrasi dalam arena politik khususnya yang berkaitan dengan pilihan raya

Menurut beliau, sebagai ahli politik yang berpengalaman Pengerusi Biro Antarabangsa PKR itu sewajarnya bertindak dengan penuh tanggungjawab terutama ketika berbicara soal keputusan pilihan raya bagi memelihara integriti politik.

“Datuk Seri Shamsul seharusnya berjiwa besar dengan menerima keputusan tersebut dan menggunakan saluran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengemukakan bantahan sebagai gambaran komitmen terhadap integriti dan profesionalisme politik.

“Dalam hal ini, saya berpendapat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Bagan Datuk serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional mempunyai keyakinan penuh terhadap proses demokrasi dan bersedia menerima apa-apa jua keputusan yang dibuat oleh pengundi,” katanya.

Terdahulu tular video Shamsul Iskandar mendakwa beliau diminta oleh Presiden PKR untuk tidak mencabar kemenangan tipis lawannya, Ahmad Zahid.

Menurut Shamsul, beliau mahu pengiraan semula kertas undi berikutan perbezaan undi tipis sebanyak 348 dan ketika itu dia bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tanda tangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Shamsul dalam podcast “Apa Cerita”.

Shamsul berkata, dengan 82 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), gandingan dengan BN boleh memberikannya majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.-MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here